Dalam
menjalankan pengajaran di bilik darjah terdapat tiga kaedah pengajaran yang
biasanya dijalankan oleh para guru iaitu kaedah deduktif, kaedah induktif, dan
kaedah eklektik. Kaedah deduktif dan induktif ini tidak mempunyai banyak
perbezaan. Sebagai jalan keluar, satu kaedah lain telah disarankan dengan
menggabungkan unsur-unsur penting daripada kedua-dua kaedah iaitu kaedah
deduktif dan kaedah induktif bagi menghasilkan suatu streategi kaedah
pengajaran yang berkesan yang dikenali sebagai Kaedah Eklektik.
Kaedah
ini mencantumkan kedua-dua unsur yang baik dalam pendekatan deduktif dan
induktif untuk menghasilkan satu strategi pengajaran. Guru bahasa boleh
memulakan pengajarannya dengan memberi contoh-contoh berkenaan sesuatu unsur
dan meminta contoh-contoh mengenai perkara yang sama daripada pelajar-pelajar.
Selepas itu guru membimbing pelajar-pelajar untuk membuat pernyataan mengenai
rumusan tatabahasa yang terlibat. Selepas itu, guru juga boleh meminta pelajar
memulakan pengajarannya dengan memberi rumusan tatabahasa yang berkenaan.
Kemudian pelajar diminta memberi penjelasan mengenai rumusan tersebut dengan contoh-contoh
yang sesuai.
Antara kelebihan pendekatan
eklektik ialah:
i. Guru tidak terikat kepada satu
kaedah pengajaran sahaja.
ii. Guru bebas menggunakan daya
kreativitinya sendiri dalam mengajar.
iii. Latihan kefahaman misalnya,
dapat dijalankan dengan diikuti oleh latihan bertutur , membaca dan menulis.
iv. Pelajar berpeluang berfikir
terus di dalam bahasa yang dipelajari dan menggunakannya secara aktif.
Kemahiran pasif (mengenai rumusan tatabahasa) dan aktif (penggunaan bahasa)
dapat dijalankan serentak didalam satu pelajaran.
Untuk
menjadikan kaedah yang digunakan berkesan guru perlu memilih dan menggunakan
teknik-teknik yang bersesuaian agar isi pelajaran yang disampaikan difahami
oleh murid tanpa halangan. Setiap kaedah yang dibincangkan memerlukan guru
melaksanakan langkah-langkah yang tertentu bagi menyampaikan pengajarannya.
Ciri-ciri khusus yang ada pada sesuatu prosedur pengajaran seperti
langkah-langkah pengajaran yang dilaksanakan, cara penyampaian bahan dan bahan
bantu mengajar digelar teknik pengajaran.
Walau pun
setiap pendekatan dan kaedah mempunyai teknik pengajaran yang tertentu tetapi
dalam sesuatu pengajaran bahasa, guru sering menggabungkan beberapa teknik
pengajaran bagi menghasilkan satu strategi pengajaran bahasa yang berkesan.
Antara teknik-teknik pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran
tatabahasa ialah teknik simulasi, sumbangsaran, soal jawab, latih tubi, kuiz
dan teknik permainan bahasa.
Maka dalam
tugasan ini saya telah memilih kaedah eklektik dalam proses pengajaran imbuhan
me-, mem-, dan men-, di bilik darjah.
Langkah-Langkah
Pengajaran
Langkah 1:
Guru
menerangkan fungsi imbuhan me-, mem-, dan men- melalui perkataan-perkataan yang
terdiri daripada kata dasar yang mengandungi kata kerja sebagaimana yang telah dihuraikan
pada bahagian yang terdahulu. Namun begitu, dalam sesi pengajaran guru mestilah
menggunakan senarai ayat-ayat yang diberi atau ditulis di papan hitam sebagai
asas titik-tolak. Ini kerana, senarai tersebut amat penting dijadikan bahan
panduan yang penting semasa guru mengajar.
Selepas selesai guru menerangkan
fungsi imbuhan me-, mem-, dan men- melalui perkataan-perkataan terbitanya dalam
ayat-ayat yang telah disenaraikan itu, para pelajar seharusnya boleh mengetahui
dan memahami fungsi imbuhan me-, mem-, dan men- dalam menerbitkan kata yang
baru setelah mengalami proses pengimbuhan pada golongan kata dasar iaitu kata
kerja.
Disinilah
kaedah eklektik diaplikasikan sepenuhnya. Guru boleh memilih untuk menggunakan
atau memberi contoh-contoh yang bersesuaian kepada pelajar terlebih dahulu agar
mudah bagi para pelajar nampak dengan jelas hala tuju pengajaran dan
pembelajaran. Kemudian, guru boleh menerangkan tentang rumus tatabahasa
berpandukan pendekatan struktural untuk mengelakkan berlakunya kesilapan semasa
mengajarkan imbuhan me-, mem-, dan men-.
Teori
pendekatan struktural hanya perlu diketahui oleh guru sahaja dan tidak perlu
diajar kepada para pelajar secara mendalam. Guru hanya boleh memberi penerangan
sahaja melalui contoh-contoh yang mudah serta bertepatan dengan pengajaran
berasaskan pendekatan struktural.
Langkah 2:
Sebaik sahaja
guru selesai menerangkan fungsi perkataan-perkataan terbitannya dalam tiap-tiap
satu ayat yang diberi itu, guru sebaik-baiknya menerangkan pula makna
tatabahasa yang dibawa oleh imbuhan me-, mem-, dan men- terhadap kata kerja
dasar yang diimbuhkan dengannya itu. Contohnya dapat kita perhatikan dengan
teliti di bawah:
IMBUHAN
|
KATA KERJA (KATA DASAR)
|
KATA TERBITAN
|
MAKNA
|
CONTOH AYAT
|
Me-
|
putih
|
memutih
|
Menjadi putih
|
Rambutnya sudah memutih.
|
Mem-
|
panjang
|
memanjang
|
Menjadi panjang
|
Perbualannya makin memanjang
|
Men-
|
kecut
|
mengecut
|
Menjadi kecut
|
Belon makin mengecut
sedikit demi sedikit
|
|
Langkah 3:
Bagi menguji
kefahaman sama ada para pelajar telah memahami penggunaan perkataan-perkataan
terbitan imbuhan me-, mem-, men-, dengan makna yang dibawa oleh
perkataan-perkataan itu, maka latihan-latihan tertentu haruslah diberi sejurus
selesainya proses pengajaran imbuhan tersebut dilakukan. Guru haruslah bijak
menentukan waktu yang sesuai dalam memberikan latihan kepada para pelajar sama
ada diberi pada akhir pembelajaran ataupun dalam pelajaran berikutnya. Oleh
itu, sebagai seorang guru pengurusan masa adalah sangat penting dalam mencapai
objektif pengajaran dan pembelajaran. Terdapat
pelbagai teknik yang guru-guru boleh gunakan semasa pengajaran imbuhan meng-,
menge-, dan meny- berdasarkan pendekatan struktural. Antaranya:
a) Teknik Simulasi
Guru boleh menggunakan
teknik simulasi dengan menggunakan pendekatan struktural untuk mengajarkan
imbuhan me-, mem-, men- kepada murid-murid. Teknik ini diklasifikasikan sebagai
satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar. Pada
kebiasaannya, teknik ini memerlukan murid-murid berinteraksi sesama sendiri
berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah,
isu atau tugasan yang diberikan.
Dalam konteks
ini, guru akan membahagikan murid-murid pada beberapa kumpulan kecil. Seterusnya,
guru akan memberikan satu petikan pendek. Kemudian guru akan memastikan
murid-murid mengenal pasti dan mencari perkataan yang menggunakan imbuhan me-,
mem-, men-. Guru akan meminta murid-murid membina ayat berdasarkan perkataan
tersebut selepas murid-murid dapat mengenal pasti perkataan-perkataan tersebut.
Melalui teknik ini, murid-murid dapat berbincang dan membina ayat mengikut
perkataan yang telah dikenal pasti tadi. Setelah itu, guru akan mengarahkan
wakil dari setiap kumpulan untuk membentangkan hasil perbincangan mereka. Dalam
situasi ini, guru dapat menggabungjalinkan teknik perbincangan dalam teknik
simulasi. Oleh hal yang demikian, guru dapat mengetahui kelemahan murid-murid
dalam menggunakan imbuhan me-, mem-, men- semasa proses pembinaan ayat.
Menerusi teknik ini, pelbagai kemahiran dapat diserapkan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran terutamanya kemahiran lisan, membaca dan menulis
serta kemahiran berfikir.
b) Teknik Sumbangsaran
Teknik lain
yang boleh digunakan dalam pengajaran tatabahasa ini ialah teknik sumbangsaran.
Teknik ini juga dikenali sebagai percambahan fikiran yang merupakan satu sesi
perbincangan yang melibatkan antara guru dengan murid-murid dalam menyumbangkan
pendapat mahupun idea. Melalui teknik ini, guru boleh menggunakan kad yang
tertulis imbuhan me-, mem-, men- dan kata kerja seperti kata ‘tulis’
misalnya dalam salah satu kad yang dibuat oleh guru. Kemudian guru meminta
murid-murid untuk membina ayat berdasarkan perkataan yang tertulis pada kad
tersebut di papan hitam. Dalam situasi ini, guru dapat mengenal pasti kesilapan
murid-murid dalam menggunakan imbuhan me-, mem-, men- ketika membina ayat.
Teknik
sumbangsaran mengandungi beberapa tujuan iaitu topik perbincangan haruslah
bersesuaian dengan kebolehan dan minat murid-murid. Guru juga perlu menggunakan
garis panduan yang ringkas dan jelas. Semua idea dan cadangan yang dikemukakan
haruslah dicatat untuk dibincangkan dalam sesi umum. Setiap murid diberi
peluang untuk mengemukakan cadangan dan menyumbang seberapa banyak idea dalam
membina ayat-ayat yang menggunakan imbuhan me-, mem-, men-. Namun begitu, guru
harus memastikan peruntukan masa untuk sesi sumbangsaran adalah berpatutan dan
mencukupi. Cadangan dan idea yang diberikan tidak boleh dikritik tetapi guru
boleh membetulkan kesilapan murid-murid dalam pembinaan ayat yang menggunakan
imbuhan me-, mem-, men- .
c) Teknik Soal Jawab
Malahan, teknik
soal jawab juga boleh digunakan dalam proses pengajaran tatabahasa. Teknik ini
merupakan teknik paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang
pendidikan. Pemilihan teknik ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan, tetapi ia
adalah bentuk yang berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid-murid secara
berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan
yang berkaitan dengan isi pelajaran dan murid-murid dikehendaki memberi tindak
balas yang sewajarnya.
Sebelum itu,
guru perlu menerangkan tentang isi pelajaran terlebih dahulu sebelum
mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran. Sebagai
contohnya, guru perlu menerangkan isi pelajaran seperti penggunaan imbuhan me-,
mem-, men- dengan kata dasar sebagai kata kerja dengan lebih terperinci supaya
murid-murid dapat memahami segala yang diterangkan oleh guru. Setelah itu,
barulah guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran
tersebut kepada murid-murid. Setelah itu, guru dapat mengetahui sama ada proses
pengajaran dan pembelajaran tersebut berkesan atau tidak dalam situasi bilik
darjah itu. Tambahan pula, guru dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada masa
akan datang.
Tujuan teknik
tersebut adalah untuk mengesan pengetahuan berbahasa dalam kalangan
murid-murid, menggalakkan murid-murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik
dan kreatif serta untuk mendorong murid-murid menyusun dan menghuraikan
bahan-bahan yang diajar oleh guru. Lantaran itu, guru haruslah menyediakan
soalan yang terancang dan bermutu sesuai dengan tahap kognitif para pelajar
agar dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana
pembelajaran yang lebih berkesan.
d) Teknik Latih Tubi
Malahan, teknik
latih tubi juga boleh diguna pakai dalam pengajaran tatabahasa. Teknik ini
sering digunakan dalam kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah
terus, elektrik, fonetik dan audio-lingual. Latih tubi merupakan proses latihan
struktur bahasa yang bertujuan untuk membentuk kelaziman yang betul bagi
menggunakan struktur-struktur bahasa yang dianggap menjadi masalah kepada
murid-murid. Teknik ini juga boleh digunakan untuk mencapai suatu kemahiran
seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta
penting. Melalui teknik ini, murid-murid akan mengalami proses mendengar,
melihat dan memikirkan maksud-maksud perkataan serta tugasnya dalam situasi yang
menggunakan perkataan tersebut.
Mengikut teknik
ini, perhatian akan diberikan kepada lima aspek kebolehan menggunakan bahasa
iaitu pertama ialah sebutan. Guru meminta murid-murid menyebut patah-patah
perkataan atau suku kata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna
dalam sesuatu situasi. Aspek yang kedua ialah tatabahasa. Penggunaan bahasa
yang tepat sangat dititikberatkan mengikut hukum-hukum bahasa daripada semua
aspek. Aspek yang ketiga ialah perbendaharaan kata. Guru berhara murid-murid dapat
memperluas perbendaharaan kata dengan menggunakan imbuhan me-, mem-, men- yang
sesuai mengikut konteks dalam situasi tertentu. Keempat ialah kefasihan. Guru
dikehendaki meminta murid-murid menggunakan perkataan dengan cara spontan tanpa
memikirkan maksud perkataan tersebut. Aspek yang kelima ialah kefahaman. Guru
akan memberikan murid-murid latihan supaya mereka dapat memahami soalan dan
memberikan jawapan yang wajar. Latihan yang diberikan oleh guru merangkumi
prospek penggunaan imbuhan dalam me-, mem-, men- dalam ayat.
e) Teknik Kloz
Guru boleh
menggunakan teknik kloz iaitu salah satu latihan yang berbentuk mengisi tempat
kosong. Teknik ini sekurang-kurangnya mampu meningkatkan kemahiran berfikir
murid-murid dalam mengisi tempat kosong dengan menggunakan perkatan yang
berimbuhan me-, mem-, dan men-. Ia juga merupakan suatu cara yang mudah untuk
dipraktikan oleh pelajar tidak kira sama ada dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran ataupun di rumah sebagai suatu pengukuhan untuk meningkatkan kefahaman
pelajar-pelajar.
f) Teknik Kuiz
Seterusnya,
guru juga boleh menggunakan teknik kuiz dalam pengajaran tatabahasa. Mengikut
catatan sejarah, teknik ini diperkenalkan pada tahun 1940, di England melalui
Perbadanan Penyiaran British (B.B.C). Aktiviti kuiz ini bermula di negara ini
setelah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah
Inggeris dan diikuti di sekolah-sekolah Melayu ketika itu. Walau bagaimanapun,
teknik ini boleh diguna pakai atau diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran
khususnya dalam pengajaran tatabahasa. Tujuan teknik ini ialah supaya guru
dapat mengukuhkan pengajaran dan memantapkan kefahaman murid-murid mengenai
topik-topik tertentu. Murid-murid juga boleh
mengulangkaji sambil bergembira tanpa rasa sebarang tekanan semasa aktiviti
pengajaran dan pembelajaran berjalan. Secara tidak langsung, pelajar dapat
melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan secara
teka-teki. Lantaran itu, murid-murid dapat belajar teknik berfikir yang baru dan
boleh diaplikasikan dalam pembelajaran mereka.
Teknik ini juga
dapat membantu murid-murid memahami sistem bahasa Melayu terutama dari segi
bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat. Terdapat dua bentuk pengajaran
dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu ia dijalankan secara spontan
pada peringkat permulaan, perkembangan dan penutup. Hal ini bermakna, kuiz
dapat dijadikan sebagai aktiviti rangsangan, penggayaan, pemulihan dan
pengukuhan. Teknik ini juga merangkumi aktiviti pertandingan yang dilakukan
dalam bilik darjah. Misalnya, guru menggunakan pendekatan pertandingan seperti
peraduan teka silang kata. Guru perlu bijak menyesuaikan teknik tersebut
selaras dengan objektif pengajaran tatabahasa terutamanya dalam pengajaran
imbuhan me-, mem-, men- . Setiap klu yang diberikan mesti menggambarkan jawapan
yang merangkumi perkataan berimbuhan sama ada me-, mem-, men- . Justeru, guru
perlu membahagikan murid-murid kepada dua atau tiga kumpulan besar untuk
melaksanakan teknik tersebut agar mencapai objektif pengajaran.
g) Teknik Permainan Bahasa
Di samping itu,
teknik permainan bahasa juga boleh diaplikasikan dalam pengajaran tatabahasa.
Teknik ini sering digunakan dalam kaedah komunikatif kerana aktiviti ini
dianggap amat penting dalam membentuk kecekapan berinteraksi ataupun kecekapan
berkomunikasi seseorang murid. Menerusi teknik ini, murid-murid dapat
mempelajari bahasa selari dengan proses pembelajaran bahasa secara semulajadi.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan kejayaan teknik ini murid-murid perlu
kreatif dalam penggunaan bahasa kerana mereka perlu menggunakan bahasa yang
tepat dan berkesan apabila bercakap atau menulis supaya maksud yang hendak
disampaikan boleh difahami. Penglibatan dalam permainan tersebut akan memberi
peluang kepada murid-murid untuk memperoleh latihan intensif, pembelajaran
bermakna dan sebagai alat dianogstik.
Kebanyakan
aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa
murid-murid. Antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Kemahiran tersebut dapat melatih murid-murid untuk mengaktifkan kecekapan
bahasa serta mengembangkan kebolehan mereka menerusi kemahiran tersebut. Hala
tuju pengajaran ini dapat diinterpretasikan dengan jelas melalui objektif
tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu dapat merangsang interaksi
verbal, menambah kefasihan dan keyakinan diri dalam kalangan murid-murid.
Malahan, guru dapat menyediakan konteks pembelajaran dalam situasi yang berbeza
untuk menarik minat murid-murid terhadap sesuatu topik yang ingin diajarkan.
Teknik ini juga bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan dan
sebagai alat pemulihan, pengukuhan serta penggayaan dalam pengajaran tatabahasa
khususnya.
Antara contoh
teknik permainan bahasa yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran tatabahasa
ialah lakonan. Melalui konteks ini, guru perlu menyediakan beberapa patah kata
berimbuhan me-, mem-, atau men- yang ditulis di atas kertas yang berasingan.
Kemudian, kertas tersebut digulungkan dan diisi dalam sebuah kotak. Setelah
itu, guru meminta seorang murid untuk mencabut undian lalu melakonkan perbuatan
yang tertulis dalam kertas tersebut tanpa mengungkapkan perkataan itu.
Sementara itu, murid-murid yang lain boleh meneka aksi yang dilakonkan oleh
murid tersebut. Keadaan ini secara tidak langsung dapat melatih atau
menyesuaikan murid-murid dengan penggunaan imbuhan me-, mem-, dan men-.
Kesimpulan
Kesimpulan yang
dapat dibuat disini ialah apa yang kita dapat lihat daripada keterangan diatas
ialah alomorf me-, mem-, men- merupakan suatu gugusan awalan me-
yang dipecahkan kepada beberapa alomorf iaitu me-, mem-, men-, meng-, meny-,
dan menge-. Awalan me- ini pula
merupakan imbuhan yang termasuk dalam suatu golongan kata iaitu kata kerja.
Jika dibuat
perbedaan antara Pendekatan Struktural dengan Pendekatan yang lain, Pendekatan
Struktural lebih kepada analisis struktur fonologi, morfologi dan sintaksis.
Berbanding dengan Pendekatan Tradisional yang lebih kepada dasar makna dan
huraian yang lebih bersifat subjektif untuk menentukan hukum-hukum tatabahasa.
Secara
realitinya, teknik-teknik yang dikemukakan di atas secara tidak langsung dapat
menyediakan persekitaran baru dalam sistem pendidikan di negara kita yang lebih
menarik dan efektif. Namun begitu, setiap teknik yang digunakan perlulah
seiring dengan objektif pengajaran agar ia mencapai objektif secara maksimum
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar